DMDI Indonesia Pilih KPMC Sebagai Pusat Pelancongan Kesehatan Terbaik

DUMAI (Surya24.com) Kredibiliti Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesehatan menarik Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Kota Dumai, dari Indonesia menjadikan Kajang Plaza Medical Centre (KPMC) sebagai pilihan Pelancongan Kesehatan (Tourism Medical) untuk rakyat negara itu mendapat rawatan terbaik.

Tertarik dengan perkhidmatan dan rawatan berkualiti di Malaysia, DMDI Kota Dumai menjalinkan kerjasama dengan DMDI Selangor bagi tujuan menumpukan pelbagai aspek termasuk kesehatan, pelancongan dan warisan Melayu.

Ketua Pengarah DMDI Kota Dumai, Timo Kipda H M Daud berkata, beliau mengalami pengalaman amat berbeza ketika mendapatkan rawatan di negaranya yang begitu mahal berbanding di Malaysia.

“Jika di sana (Indonesia), saya dirawat di hospital selama tujuh hari tetapi doktor masih belum menemukan penyakit sebenar, hari kelapan saya ke Malaysia dan hari itu juga saya tahu ada infeksi paru-paru. Saya bukan perokok tetapi menerima asap dari sekeliling.

“Jadi majoriti orang Dumai pilih Malaysia, kerana di sini kita dilayani dengan baik, rawatan berkualiti. Jadi, mungkin ada kerjasama dengan pihak KPMC mengenai perkara ini akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) DMDI Selangor dan DMDI Selangor diwakili Pengerusinya, Datuk Saroni Judi di KPMC, di sini.

Timo Kipda bersama delegasi DMDI Kota Dumai membuat kunjungan ke KPMC bagi tujuan menjalinkan kerjasama dalam pelbagai aspek, pada masa akan datang.

Timo Kipda juga berkata, kebiasaannya warga Kota Dumai akan menaiki feri terus ke Melaka, Muar atau Port Dickson menerusi pakej pelancongan kesihatan namun melihat KPMC di sini juga mempunyai potensi sama dalam senarai pakej berkenaan.

“Yang penting, mereka (warga Kota Dumai) hanya mahukan kemudahan dan kemurahan, ada diskaunnya,” katanya.

Sementara itu, Saroni yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KPMC berkata, pihaknya menyasarkan kemasukan kira-kira 30 peratus pesakit daripada warga Indonesia melalui pakej pelancongan kesihatan disediakan pihak DMDI Kota Dumai.

“Program ini melibatkan pihak DMDI sahaja. Kami sediakan mengikut pakej bersesuaian termasuk pengangkutan terus dari jeti feri ke hospital, hotel terdekat, dan lokasi pelancongan untuk keluarga pesakit yang datang ke KPMC,” katanya.**