ANGKASA dan KADIN Dumai Bakal Jalin Hubungan Perdagangan, Promosi Produk Koperasi

DUMAI (Surya24.com) - ANGKASA bersedia untuk menjalinkan hubungan perdagangan dua hala dengan Kamar Dagang dan Industri (KADIN) Kota Dumai, Indonesia dalam usaha mempromosikan produk koperasi ke Kota Dumai, Riau, Sumatera. 

Kerjasama perdagangan tersebut diharap dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak bagi meluaskan pasaran produk koperasi ke negara serantau memandangkan potensi luar biasa yang dimiliki Kota Dumai, iaitu kota kedua terbesar di Indonesia. 

Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya berkata, kesediaan itu disepakati secara bersama dan bakal direalisasikan menerusi satu kunjung hormat yang akan diadakan ke kota berkenaan pada Julai 2024 bagi melihat sendiri potensi ekonomi dan perdagangan di daerah Riau, Sumatera.
  
Beliau berkata, lawatan kerja yang menjurus kepada layanan perniagaan atau _business treats_ itu turut membuka peluang kepada usaha menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) kedua-dua pihak mengenai kerjasama dalam bidang ekonomi khususnya mempromosikan produk koperasi. 

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjung hormat seramai empat orang delegasi KADIN Kota Dumai, Indonesia bertempat di Ibu Pejabat ANGKASA, Kelana Jaya pada hari ini (7 Mei 2024). 

Delegasi yang diketuai oleh Chairman Dumai's Chamber of Commerce Industry, Zulfan Ismaini itu turut disambut mesra oleh Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Pengerusi Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Dato' Haji Kamarudin Ismail. 

Hadir sama ialah Vice Chairman on Economic Acceleration and Cooperation, Annora Arsan, Standing Committee on Economic Cooperation, Muhammad Arief dan Ika Irawati. 

Menyentuh mengenai hubungan perdagangan tersebut, Zulfan menyatakan rasa berbesar hati atas kesudian ANGKASA untuk menjalinkan kerjasama berkenaan. 

Menurutnya, Kota Dumai memiliki kedudukan strategik iaitu sebuah pelabuhan yang merupakan pusat perdagangan di Sumatera dan berpotensi besar sebagai hub komoditi kepada pengusaha tempatan dan luar negara. 

Katanya, KADIN Indonesia adalah organisasi pengusaha Indonesia yang aktif menjalankan aktiviti ekonomi melalui usaha pengembangan potensi perdagangan serantau. 

KADIN Indonesia ialah sebuah pertubuhan yang diasaskan pada 24 September 1968 dan dipimpin oleh Ketua Umum KADIN Indonesia, Arsjad Rasjid sejak tahun 2021 serta berpusat di Jakarta, Indonesia. 

Pertubuhan itu giat menjalinkan kerjasama strategik dengan negara yang berpotensi dalam bidang perdagangan dalam usaha mewujudkan dunia usahawan Indonesia yang berdaya saing. 

Turut hadir dalam kunjung hormat itu ialah Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Penyelidikan dan Pembangunan ANGKASA, Dr. Noraini Mohamad dan Penolong Pengurus Seksyen Pemborongan dan Peruncitan, Bahagian Peneraju ANGKASA, Puan Nurmurni Wahab.(cu)